JERANTUT: Sebanyak 28 unit Rumah Mesra Syariah (RMS) dibina buat pertama kalinya di Pahang, kediaman yang berkonsep ciri-ciri keagamaan, termasuk disediakan kemudahan tanda arah kiblat dan privasi untuk penghuni lelaki serta perempuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd Rahim Muda, berkata Kerajaan Pahang sentiasa memberi sokongan kepada pemaju yang ingin membina kediaman berkonsep sedemikian kerana ia menggalakkan gaya hidup Islam dan memudahkan umat Islam menunaikan ibadah.
“Konsep rumah seperti ini akan diperluaskan ke seluruh negeri ini tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran RMS di Taman Gelanggi RMS di Pulau Tawar, di sini hari ini.
Katanya, antara ciri-ciri mesra syariah yang diperkenalkan ialah kediaman berkenaan dilengkapi panduan arah kiblat yang diperakui Jabatan Mufti Negeri Pahang yang dipasang di ruang tamu serta bilik tidur.
Beliau berkata, reka bentuk ruang di dalam rumah dengan empat bilik itu pula melindungi privasi penghuni, di mana anak lelaki dan perempuan dapat diasingkan dalam bilik berlainan.
“Keunikan lain ialah kemudahan tempat wuduk yang mesra tetamu,” katanya sambil menambah, konsep di luar kediaman pula amat mementingkan kejiranan harmoni, juga bersesuaian dengan nilai-nilai Islam.
Abd Rahim berkata, fasa satu projek mengandungi 28 unit rumah berkembar setingkat dan dua unit banglo setingkat, kini dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021, manakala fasa kedua pembinaan 28 unit rumah teres setingkat dijangka dimulakan pada tahun depan.
“Rumah berkembar memiliki empat bilik tidur dan dua bilik air dijual pada harga bermula RM299,000 dengan subsidi sebanyak RM30,000 ditawarkan kepada pembeli rumah pertama yang layak,” katanya.
Katanya, projek berkenaan dibangunkan syarikat pemaju, Pembinaan Jaya Depan Sdn Bhd dengan khidmat nasihat Jemaah Penasihat Syariah Madrasah Darul Uloom Al-Islamiyyah.
Abd Rahim berkata, sambutan terhadap konsep perumahan berkenaan amat menggalakkan apabila semua unit habis terjual.
“Rumah ini bukan hanya untuk umat Islam, tetapi turut terbuka kepada bukan Islam. Ia sesuai untuk semua agama dan golongan. Kerajaan negeri menggalakkan perumahan sebegini pada masa hadapan dan akan cuba membantu menyediakan tanah untuk tujuan pembinaannya di daerah lain,” katanya.